Jejak Kedamaian Taiping merupakan pakej pelancongan yang dikhususkan buat para pengembara yang ingin merasai pengalaman sesebuah bandar serta kawasan sekitarnya melalui kisah budaya dan ruang warisan. Pakej ini merangkumi tiga laluan utama – Jejak Jana, Jejak Timah Taiping, dan Jejak Matang-Kuala Sepetang. Kesemuanya bakal memberikan anda pengalaman menyeluruh mengenai landskap, sejarah, dan warisan di kawasan yang menjangkau komuniti di kaki bukit utara Bukit Larut, kisah asal-usul Taiping yang mengagumkan serta kesan perlombongan bijih timah terhadap penubuhannya, pembangunan bandar dan masyarakatnya, serta hubungan istimewa antara paya bakau Matang yang luas dengan komuniti yang menetap di pinggiran landskap unik ini. Secara keseluruhannya, jejak-jejak ini menawarkan pandangan yang luas namun mendalam tentang Taiping, dari puncak bukit ke dataran landai, hinggalah ke pesisir pantainya.

Jejak Jana
Jejak Timah Taiping
Jejak Matang-Kuala Sepetang (KSP)

Ikuti jejak ini yang membawa anda ke keindahan Sungai Bukit Jana, di kaki bukit bahagian utara Bukit Larut. Kawasan yang dahulunya merupakan tapak perlombongan bijih timah yang luas pada abad ke-19, kini merupakan hutan sekunder yang dihiasi dengan kebun durian, denai kerbau lama, serta menjadi sumber penting bagi komuniti setempat mengumpul hasil hutan sebagai makanan dan herba. Air Sungai Jana yang jernih juga menjadi habitat berharga bagi pelbagai flora dan fauna. Bersedialah untuk terpukau dengan cerita rakyat tempatan, kesan dinding susunan batu tinggalan pelombong abad ke-19, serta kepelbagaian biologi yang luas di sepanjang sungai yang indah ini. Sesi jalan kaki ini akan diakhiri dengan hidangan ringkas hasil hutan yang dipetik segar, disajikan di sebuah pondok di tepi sungai.

Jejak ini menawarkan pemahaman mendalam tentang bandar Taiping yang sejarahnya berakar umbi daripada hasil bijih timah, Perang Larut yang tersohor, serta campur tangan British yang menandakan kemasukan rasmi mereka ke dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1874. Anda juga akan menerokai kesan rentetan sejarah tersebut, pengaruh kehadiran kolonial dalam pembangunan bandar, kemajuan infrastruktur, pertumbuhan masyarakat majmuk, serta pengaruh budaya dalam hati dan minda penduduknya. Hentian termasuk: Menara Jam (titik permulaan), Taman Tasik Taiping, Pasar Besar Taiping (1885), melihat perniagaan warisan turun-temurun, dan berakhir di Muzium Matang sebelum pulang ke Taiping. Makan tengah hari (tanggungan sendiri) adalah di medan selera vintaj tempatan.

Jejak ini meneroka hubungan antara landskap yang unik dengan komuniti yang menetap di sekitarnya. Hutan Simpan Paya Laut Matang seluas 40,000 hektar, yang terletak hanya 10 kilometer dari Taiping, merupakan salah satu contoh terbaik pengurusan hutan lestari di dunia. Hutan paya bakau ini telah membentuk kehidupan penduduk melalui sumber pendapatan daripada hasil laut, pembuatan arang kayu, dan eko-pelancongan. Melalui jejak ini, anda akan merasai pengalaman menghidupkan semula tradisi mencanting/mencelup kain menggunakan warna bakau, melawat dapur arang yang diwarisi turun-temurun, berjalan ke dalam hutan paya bakau, serta menikmati pelayaran waktu matahari terbenam sambil menyaksikan paparan kelipan cahaya kelip-kelip yang memukau di sepanjang sungai.

Cara menempah pakej Jejak Kedamaian Taiping

Untuk menempah pakej Jejak Kedamaian Taiping, anda boleh memilih salah satu daripada pilihan berikut:

  • Melalui Laman Web Rasmi Kami
    Pergi ke laman web rasmi kami, Come to Peace, Come to Taiping. Di bawah seksyen Tour Guides, anda boleh memilih pemandu pelancong mengikut pilihan bahasa atau laluan jejak. Maklumat perhubungan turut disediakan.
  • Hubungi Ejen Pelancongan Kami

    Poly Travels: 05-8081515

Anda boleh memilih untuk meneroka ketiga-tiga laluan jejak ataumemilih laluan individu berdasarkan minat anda.

Untuk pertanyaan, sila emel cometotaiping@gmail.com atau hantarkan DM kepada kami di Facebook atau Instagram (@cometotaiping).